Ekonomi Tawau

Majlis Perbandaran Tawau 9:44 AM [19/4/2017] Ekonomi


Pertanian

Pada asasnya Daerah Tawau adalah sebuah Daerah Pertanian dan atas sebab itu ramai orang memberikan gelaran kepada Daerah Tawau sebagai "Bumi Peladang". Adalah dianggarkan lebih daripada 159, 328 hektar tanah didaerah ini didapati sesuai untuk tujuan pertanian. Di samping itu kedudukan Stesen Penyelidikan koko, Bukit Quoin Tawau sebagai stesen terunggul pengeluar biji benih koko bermutu tinggi dan terbaik di Negeri Sabah dan Malaysia amnya menguatkan lagi kenyataan ini. Syarikat peladang gergasi seperti Golden Hope, Taiko Plantation dan Sime Darby masing-masing mempunyai ladang di Daerah Tawau ini.

Sehingga Disember tahun 1998 lalu lebih daripada 123,725 hektar kawasan tanah yang berpotensi untuk tujuan pertanian di Daerah ini telahpun dimajukan dengan berbagai-bagai jenis tanaman. Diantara jenis yang utama ialah kelapa sawit, koko, getah dan kelapa.


Perikanan

Selain daripada perusahaan pertanian. Daerah Tawau juga merupakan sebuah daerah yang kaya dengan hasil laut seperti ikan dan udang. Malahan dengan bekalan hasil-hasil laut seperti harga ikan di Pasar-pasar Tawau adalah antara yang termurah sekali di Negeri Sabah. Oleh kerana pengeluaran dan bekalan yang banyak dan telah melebihi keperluan penduduk tempatan, pengusaha-pengusaha ikan dan udang di daerah ini telah mengeksport hasil-hasil ini keluar Negeri Sabah seperti Jepun, Hongkong, Amerika Syarikat, Singapura dan Semenanjung Malaysia.

Pada masa ini terdapat dua buah kilang memproses udang yang sedang beroperasi di daerah ini. Di samping itu kegiatan Akuakultur juga sedang giat diusahakan di daerah ini di mana seluas 4785 hektar tanah telah dikenalpasti sebagai kawasan yang sesuai.


Perusahaan Kayu Kayan

Selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk menggalakkan Pemerosesan kayu-kayan secara tempatan daripada mengeksport terus kayu-kayan Daerah Tawau telah mengalami pertumbuhan yang pesat dari segi pemerosesan hiliran kayu-kayan. Pertumbuhan ini dapat dibuktikan dengan terdapatnya 30 buah kilang memproses kayu-kayan yang mengekspot hasil-hasil perkayuan dalam bentuk Kayu Bergergaji dan Lapis. Jenis-jenis Kayu Balak yang bermutu dan banyak terdapat di Daerah Tawau adalah seperti Nyatoh, Oba Suluk, Agathis, Serayah Merah, Kapur, Merbau, Takalis dan Sepatir.


Pembangunan

Kedudukan Tawau yang strategik berserta hasil-hasil, seperti yang disebut tadi, telah menjadikan Tawau sebuah daerah yang cepat membangun. Pengusahan-pengusahan bank, insuran, pembalakan, pertanian, perikanan, telekomunikasi dan lain-lain perniagaan telah datang ke Tawau dan menjadikan Bandar ini sebagai pusat operasi mereka untuk kawasan Pantai Timur Sabah. Sebagai contoh, pada masa ini lebih daripada 30 buah bank institusi kewangan sedang beroperasi di Bandar Tawau.


Bekalan Elektrik

Kapasiti penajaan bekalan elektrik untuk Bandar Tawau ialah 70 megawatt. Beban Maxima adalah 39 megawatt dengan 29,547 bilangan pengguna. Surplus kemampuan pengeluaran sebanyak 21 megawatt


Bekalan Air

Pengeluaran air bertapis ( treated water ) sehari ialah sebanyak 115 juta liter. Jumlah permintaan adalah sebanyak 98 juta sehari dengan 26,000 buah meter sambung. Surplus pengeluaran sebanyak 17 juta liter sehari.


Jalan Raya

Terdapat 309,02 batu jalan raya di Daerah Tawau. 49.02 batu adalah di bawah jagaan Kerajaan Persekutuan, sementara 260 batu lagi di bawah jagaan Kerajaan Negeri. Setakat ini Kerajaan Persekutuan telah menurap 36.59 batu dan Kerajaan Negeri pula menurap sepanjang 90 batu.


Pelabuhan Tawau

Pelabuhan Tawau telah mengalami berbagai perubahan dan yang terakhir sekali ialah projek pembesaran pelabuhan yang belanja lebih 60 juta ringgit. Ini juga adalah salah satu antara pelbagai projek Kerajaan Negeri yang terbesar di daerah ini. Projek ini siap dibina dalam tahun 1982. Ianya juga menjadikan Pelabuhan Tawau yang ketiga terpenting di Sabah.